Alor Setar, 29 Julai 2025 – Seramai 394 orang pelajar cemerlang dari lima program pengajian telah diraikan dalam Majlis Apresiasi Siswa 2025 yang berlangsung penuh gemilang di Hotel Raia & Convention Center, Alor Setar.
Majlis ini merupakan inisiatif tahunan bagi menghargai kecemerlangan akademik pelajar dan menyemarakkan budaya kecemerlangan dalam kalangan warga pelajar. Ia turut menjadi platform untuk menyuntik inspirasi kepada semua siswa-siswi agar terus berusaha mencapai kejayaan yang membanggakan.
Majlis dirasmikan oleh YBhg. Encik Rizal Effendi bin Razali, Pengarah MARA Negeri Kedah, dan turut dihadiri oleh Pengarah KPTM Alor Setar, Cik Nor Asmah binti Said, Ahli Pengurusan Tertinggi, Dekan Fakulti dan Pensyarah.
Antara momen istimewa pada majlis tersebut ialah penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan yang disandang oleh Saudara Muhammad Irfan bin Rusli, pelajar Program Diploma in Computer Science. Lebih bermakna, kejayaan beliau turut diraikan bersama oleh tetamu jemputan khas, Pengetua Sekolah Menengah Agama (SMA) Fauzi, yang pernah membimbing beliau di peringkat sekolah menengah.
Selain itu, Anugerah Khas Kokurikulum dianugerahkan kepada Saudari Elisa Low yang bergiat aktif dalam Taekwondo dan pernah memenangi Pingat Emas dalam 19th SPU Invitational Taekwondo Carnival Championship 2025. Anugerah Khas Usahawan telah dianugerahkan kepada Saudara E Virug kerana aktif mengusahakan perniagaan pakaian dengan jumlah jualan mencecah RM18,000 pada tahun 2024.
Majlis turut diserikan persembahan pelajar, tayangan video alumni serta penyampaian sijil dan cenderamata kepada pelajar-pelajar cemerlang.
Majlis Apresiasi Siswa 2025 bukan sekadar acara tahunan, tetapi lambang penghargaan dan komitmen institusi dalam membentuk generasi muda yang berilmu, berintegriti dan berdaya saing di persada nasional dan antarabangsa.
#kptm
#kptmas
#nextlevelofexcellence
#MAS2025